Subscribe:

26.8.11

Liverpool FC rakan program Akademi KLFA


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kini dalam fasa terakhir untuk memeterai perjanjian dengan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC, sebagai rakan program akademi bola sepaknya. Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz, berkata perjanjian yang dijangka akan ditandatangani awal November itu hanya akan berjaya jika KLFA berjaya mendapat penaja untuk keseluruhan program itu.
"KLFA kini dalam rundingan terakhir dengan beberapa penaja untuk menyusun satu pelan kewangan jangka panjang untuk membantu perjalanan akademi dan perbelanjaan saingan liga Super," katanya pada majlis penyerahan geran tahunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada KLFA disini hari ini.
Beliau berkata, jika kerjasama rakan program akademi bola sepak antara Liverpool dan KLFA berjaya, ia adalah julung kali Liverpool mempunyai akademi latihan di luar England. Astaman berkata, akademi yang terletak di Taman Melati, dekat sini, sudah siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2012. "Sebagai satu akademi yang baru ditubuhkan, kita akan bermula secara kecil sesuai dengan kemampuan infrastruktur yang ada," katanya. Sementara itu, Astaman berterima kasih dengan sumbangan geran tahunan daripada DBKL berjumlah RM350,000 untuk membantu menyelesaikan sol bayaran gaji pemain dan pegawai KLFA yang tertunggak selama tiga bulan. "Walaupun jumlah yang diterima kurang dari peruntukan biasa pada tahun-tahun sebelum ini, KLFA memahami komitmen DBKL untuk pembangunan program rakyat yang lain," katanya. - BERNAMA

Source: bharian

No comments: